05 July 2011
12 Punca Letih
Letihnya! Setiap individu pasti pernah mengeluh begini. Keletihan akibat kerja dan pelbagai urusan harian sememangnya tidak dapat dielakkan. Mungkin anda boleh cuba mengatasi masalah letih anda itu jika anda mengetahui puncanya. Berikut merupakan punca anda letih :-
1 Tidak Cukup Tidur
Apabila kita tidak cukup tidur, ia bukan sahaja membuatkan tubuh berasa letih malah fokus kita terhadap kerja dan aktiviti seharian juga akan terganggu. Lama-kelamaan jika tidak ditangani ia akan membawa kepada masalah kesihatan pula. Individu dewasa patut mendapatkan tidur berkualiti selama tujuh hingga lapan jam sehari.
ATASINYA : Jadikan waktu tidur sebagai keutamaan. Buat jadual tidur agar anda mampu masuk tidur pada waktu yang seragam setiap malam. Hindarkan sama sekali kompute riba, telefon bimbit, iPAD, dan apa jua gajet dari berada di dalam bilik tidur anda.
2 Sleep Apnea
"Aku rasa aku cukup tidur tapi kenapa asyik menguap ni..mengantuknya!", jika itu yang anda rasakan anda mungkin mengalami gangguan tidur atau 'sleep apnea'. Gejala utama pada masalah ini adalah berdengkur. Situasi tersebut membuatkan nafas anda cenderung berhenti seketika dan anda secara tiba-tiba terjaga. Selalunya anda tidak menyedari akan hal ini melainkan pasangan anda memerhatikan masalah anda. Berdengkur juga akan membuatkan tidur anda yang panjang menjadi tidak berkualiti.
ATASINYA : Kurangkan berat badan bagi yang obes, berhenti merokok dan dapatka rawatan CPAP dengan memberitahu masalah anda kepada doktor.
3 Tidak Cukup Makan
Bukan terlebih makan saja mampu membuatkan anda mengantuk, begitu juga sebaliknya. Selain itu, makan makanan yang salah juga mampu membuatkan anda mengantuk seperti makanan tinggi lemak dan tinggi gula. Untuk itu, piluhlah makanan yang seimbang serta makan dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Kaedah ini dapat membantu mengekalkan tahap gula dalam darah anda agar sentiasa stabil.
ATASINYA : Jangan tinggalkan sarapan. Cuba untuk memperbanyakkan makanan dari sumber protein dan karbohidrat kompleks di dalam sajian anda agar memberikan rasa kenyang dan tenaga lebih lama. Contohnya, makan sandwich bersama telur hancur, bijirin sarapan bersama susu dan emping dengan taburan madu.
4 Anemia
Kurang darah merah atau anemia adalah punca utama keletihan di kalangan wanita. Kedatangan haid yang banyak juga mampu menjadi punca kurangnya zat besi dalam darah. Sel darah merah sangat penting dalam membawa oksigen ke tisu dan organ tubuh.
ATASINYA : Bagi wanita yang mengalami anemia yang berpunca dari kurangnya zat besi, maka pengambilan suplemen adalah disarankan. Sila rujuk doktor anda untuk mendapatkan nasihat dan preskripsi yang tepat. Banyakkan makan daging merah (buang lemak), hati, kekacang, bijirin gandum, brokoli dan bayam.
5 Dehidrasi
Keletihan anda juga adalah tanda bahawa tubuh anda sedang mengalami dehidrasi. Maksudnya, anda kurang minum air. Air sangat penting dalam menjamin fungsi tubuh dan memastikan suhu badan anda kekal stabil. Minum air selalu kerana apabila anda hanya minum setelah dahaga, itu tandanya tubuh anda sudah pun dehidrasi.
ATASINYA : Bawa bekalan air putih atau air kosong ke man jua anda pergi agar bekalan air anda tidak putus. Salah satu tanda lain untuk pastikan keperluan air dalam tubuh mencukupi adalah dengan memerhatikan warna air kencing anda. Jika warnanya jernih (bukan kuning pekat) maka itu tandanya air dalam badan anda mencukupi. Pastikan juga anda minum sekurang-kurangnya dua cawan air atau kira-kira 500ml satu jam sebelum memulakan sebarang bentuk senaman. Lakukan hal yang sama selepas satu jam bersenam.
6 Depresi
Anda boleh menganggapnya sebagai gangguan emosi tetapi sebenarnya ia mampu menyumbang kepada pelbagai masalah fizikal lain. Letih, pening kepala dan hilang selera makan adalah di antara gejala yang dicetuskan oleh depresi.
ATASINYA : Jika masalah berlarutan dan semakin serius, silalah berjumpa doktor atau pakar psikiatrik agar anda mampu mengurangkan risiko jangka panjang.
7 Terlebih Kafein
Ya, kafein mampu membantu meningkatkan daya fokus tetapi hanya jika diambil dalam jumlah yang minima. Sekiranya kandungan kafein yang diambil berlebihan, ia kan meningkatkan kadar degupan jantung dan tekanan darah. Situasi ini akan membuatkan anda berasa tidak menentu dan mengakibatkan keletihan bagi kebanyakan individu.
ATASINYA : Kurangkan pengambilan kopi, teh, minuman coklat dan minuman berkarbonat dalam diet harian anda secara perlahan-lahan. Jangan berhenti secara mendadak kerana ini juga mampu membuatkan tubuh terkejut hinggakan anda akan berasa letih secara keterlaluan. Seeloknya, hadkan pengambilan kesemua minuman ini agar tidak melebihi tiga cawan sehari.
8 Jangkitan Pundi Kencing (UTI)
Jika anda mengalaminya, anda akan berasa sakit seperti terbakar di sekitar bawah perut dan disertai rasa mahu membuang air kecil yang tidak mampu ditahan. Keadaan yang tidak dirawat mempu mengakibatkan tubuh menjadi letih.
ATASINYA : Pengambilan antibiotik yang disarankan oleh doktor mengikut situasi diri anda adalah pilihan wajib bagi anda.
9 Masalah Tiroid
Tiroid adalah kelenjar yang mengawal metabolisme tubuh dengan menukarkan makanan dalam bentuk tenaga. Apabila kelenjar tersebut gagal berfungsi dengan baik, anda akan rasa lemah, letih dan berat badan juga mudah bertambah.
ATASINYA : Jika ujian darah mengesahkan hormon tiroid anda rendah, terapi hormon sintetik mungkin membantu.
10 Alahan Makanan
Ada doktor mempercayai bahawa alah kepada makanan juga mampu membuatkan anda berasa mengantuk. Jika keletihan itu anda rasai selepas makan, anda bolehlah memantau menu makanan anda. Alahan makanan peringkat ringan biasanya tidak akan membawa kepada ruam atau kegatalan.
ATASINYA : Cuba lakukan pemerhatian pada setiap makanan yang membuatkan anda berasa tak selesa perut dan keletihan selepas makan. Kemudian, asingkan dari senarai. Anda juga boleh mandapatkan nasihat doktor pakar berhubung masalah ini.
11 Diabetes
Bagi individu yang mengidap diabetes, kebiasaannya kandungan gula berlebihan akan kekal di dalam darah daripada memasuki sel tubuh untuk diurai sebagai tenaga. Kesannya tubuh anda akan sentiasa menghantar isyarat 'kehabisan tenaga' sedangkan anda makan. Ini juga mampu membuatkan anda semakin letih.
ATASINYA : kaedah semulajadi bagi membantu mengurangkan gejala diabetes adalah dengan mengubah gaya hidup dan pola pemakanan, meneruskan pengambilan insulin dan ubatan yang mampu membantu melancarkan proses penguraian gula dalam darah.
12 Masalah Jantung
Jika anda mudah berasa letih walaupun hanya dengan melakukan kerja rumah biasa seperti menyapu sampah atau mengelap lantai, anda perlu memantau kesihatan anda. Ini kerana itu mungkin tanda bahawa jantung anda sudah semakin lemah. Jika keadaan letih yang dirasai sangat teruk, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.
ATASINYA : Ubah gaya hidup anda, berhenti merokok dan mulakan tabiat pemakanan sihat. Mencegah lebih baik dari merawat!
Sumber dari majalah rapi
Sekarang ni kerap jugak letih.. Ari minggu ja nak tido jer rasa.. Sampaikan rasa tak larat nak wat kerja lain kat umah.. Kena tengok jugak ni, kot ada perkara2 kat atas ni bersangkut paut ngan aku..
No comments:
Post a Comment
Sudi-sudikanlah tinggalkan komen dan jejak anda..